Categories
Uncategorized

Misteri dalam novel Melunas Rindu terjawab

Ketika membaca dan menelaah novel Tingkatan Empat  –  Melunas Rindu, terdapat  beberapa misteri atau saspens yang menghantui fikiran pembaca, termasuk cikgu.  Antaranya :-

Ke manakah perginya  Sofia?

Apakah yang telah berlaku terhadap Sofia?

Kenapa Encik Robert Lim sanggup menyerahkan anaknya Sofia kepada Pak Mali dan  Salmah sebagai anak angkat?

Kenapa Fuad melarikan Sofia?  Apakah yang berlaku antara mereka?

Bagaimanakah Fuad dapat mengetahui Sofia merupakan adiknya?

Tanpa mendapat jawapan tersebut, terasa ada kekurangan dan tidak sempurna membaca novel tersebut.  Bersyukurlah cikgu mendapat maklumat lanjut tentang perkembangan plot  yang melengkapkan perkembangan isi Melunas Rindu daripada novel PIA.  Rupa-rupanya penulis Hartini Hamzah telah menulis kedua-dua novel tersebut  secara bersiri.

Terima kasih kepada  Cikgu Abd Razak Bin Hassan kerana membongkar misteri tersebut.

*** Bagaimanapun calon SPM  2011, pelajar Tingkatan 4 tahun ini diperingatkan supaya tidak memasukkan isi  kandungan dalam novel PIA  ketika menjawab soalan novel. Hal ini demikian kerana anda hanya diminta menjawab soalan  berdasarkan novel Melunas Rindu sahaja.

Berikutnya adalah sinposis Novel PIA  yang dibekalkan oleh Cikgu Abd Razak Bin Hassan.

NOVEL “PIA”


Novel bertajuk PIA yang ditulis oleh Hartini Hamzah merupakan siri pertama daripada dua sekuel novel iaitu PIA dan MELUNAS RINDU. Setelah membaca novel PIA sehingga tamat, kita akan memperoleh banyak maklumat yang tidak terjawab dalam novel Melunas Rindu. Misalnya, kematian Sofia diceritakan akibat daripada satu kemalangan jalan raya bersama ibunya Susan apabila kereta yang mereka naiki terbabas dan terhumban ke dalam gaung. Dalam novel ini juga diceritakan sebab Sofia diserahkan kepada Pak Mail dan Mak Salmah iaitu kesan kepercayaan daripada ibu bapanya iaitu Robert Lim dan Susan bahawa Sofia bernasib malang. Diceritakan juga bagaimana Pak Ismail dan Mak Salmah membawa Sofia ke Danau Seberang sejak kecil. Pengarang juga menceritakan secara panjang lebar peristiwa Fuad “menculik” Sofia semasa mengikut rombongan sekolah ke Kuala Lumpur. Setelah Sofia dan ibunya Susan terkorban dalam kemalangan jalan raya, barulah Fuad mendapat tahu bahawa Peter Lim dan Swee Lan bukanlah ibu bapanya yang sebenar. Hal ini dijelaskan oleh Peter Lim bahawa adalah mustahil untuk Fuad memperisteri Sofia kerana Sofia ialah adik kandungnya. Peter Lim juga kemudian menceritakan tentang ibu Fuad bernama Mariana. Swee Lan kemudian memberitahu Fuad bahawa ibunya Mariana meninggal dunia ketika melahirkannya. Diceritakan pada akhir novel iaitu Fuad kembali ke Danau Seberang untuk menebus semua kesalahannya kepada Pak Ismail dan Mak Salmah.

7 replies on “Misteri dalam novel Melunas Rindu terjawab”

Salam 1Malaysia untuk Cikgu Tan.

Sebenarnya saya mendapatkan naskhah novel PIA secara kebetulan di sebuah kedai buku di Johor Bahru. Ketika membelek-belek buku di rak, mata saya terpandang kepada sebuah novel tulisan Puan Hartini Hamzah bertajuk PIA. Setelah membaca sinposis di belakang novel tersebut, saya sedar bahawa novel ini merupakan novel sekuel kepada Melunas Rindu. Lantas saya membeli dan terus membacanya hingga tamat. Seterusnya saya menyiarkan maklumat itu di blog. Saya juga teleh membuka sebuah blog khas untuk novel tersebut iaitu :

http://melunasrindu.blogspot.com

Puan Hartini Hamzah juga telah menghantar tiga coretan berkaitan pengalaman beliau menulis novel ketika masih menjadi pelajar di UiTM Terengganu.

Selalunya, apabila baca jak novel ini, selalu aku fikir ‘Macam mana si Sofia mati?’ Sekarang, barulah aku dapat jawapanya.

Leave a Reply