Categories
Uncategorized

Rumusan Format SPM 2021

Latihan Rumusan 1 -Format SPM 2021

Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan. Panjangnya rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

Bahan 1

Alam sekitar ialah anugerah Tuhan yang amat bernilai kepada kesejahteraan kehidupan manusia kerana kita banyak bergantung pada sumber semula jadi. Namun begitu, alam sekitar kini semakin tercemar kerana terdapat pihak yang tidak bertanggungjawab melakukan pencemaran, termasuklah pembuangan sampah di sungai, penggunaan baja kimia dan pembuangan sisa toksik.

 Pemuliharaan terhadap alam sekitar amat penting untuk mengelakkan kepupusan. Ekosistem dan ekologi alam semula jadi akan terganggu apabila berlaku kepupusan flora atau fauna. Cuaca juga akan menjadi panas dan kering jika penebangan hutan dilakukan secara tidak terancang. Habitat semula jadi turut musnah jika pembakaran hutan dilakukan secara terbuka. Pelbagai jenis haiwan bergerak ke kawasan baharu untuk mencari tempat perlindungan. Akhirnya fenomena ini mengakibatkan kepupusan haiwan dan tumbuh tumbuhan.

Permasalahan alam sekitar memerlukan komitmen yang tinggi daripada semua pihak dan perlu ditangani secara bersama. Setiap lapisan masyarakat seharusnya menyuburkan amalan gaya hidup yang mengutamakan penggunaan sumber secara berhemah demi memulihara alam sekitar dan sumber yang semakin berkurang. Hutan yang menjadi sumber ekonomi negara juga perlu dipulihara dan diurus dengan baik untuk memastikan kelangsungan peranan serta sumbangannya kepada kesejahteraan manusia sejagat. Bencana banjir dan tanah runtuh yang kerap berlaku ada kaitan dengan kegiatan pembalakan dan kemusnahan hutan. Oleh itu, kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan perlu menghentikan kegiatan pembalakan haram untuk mengelakkan kejadian yang lebih buruk berlaku.

Pencemaran sungai terus berlaku di mana-mana sahaja sehingga menimbulkan pelbagai masalah. Pelbagai langkah boleh dilakukan untuk menyelamatkan sungai di negara kita, termasuk mengadakan Kempen Cintai Sungai secara bersepadu di seluruh negara. Dengan berbuat demikian, orang ramai sentiasa diingatkan tentang pentingnya menjaga sungai. Skop pendidikan di sekolah tentang alam sekitar juga perlu diperluas dalam usaha mendidik generasi muda agar menyedari kepentingan sungai.

 Kerajaan juga telah mewujudkan hutan simpanan kekal yang diurus dan diklasifikasikan sebagai hutan perlindungan, hutan berhasil, hutan lipur dan hutan penyelidikan dan pembelajaran. Kawasan hutan ini bukan sahaja menjadi habitat kepada haiwan, malah berperanan sebagai muzium hidup yang memaparkan kehidupan alam semula jadi yang perlu dipelihara.

Dalam usaha menjaga alam sekitar, bukan kerajaan sahaja yang harus dipertanggungjawabkan, tetapi semua pihak perlu melibatkan diri secara akur. Kempen kesedaran perlu ditingkatkan pada peringkat sekolah, institusi pengajian tinggi dan masyarakat awam. Pelaksanaannya memerlukan kerjasama setiap individu dengan sektor swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO). UMW Toyota telah menyumbangkan sebanyak RM6 juta bagi mendedahkan golongan pelajar sekolah terhadap kepentingan memelihara alam sekitar dan menghijaukan bumi.

Secara tuntasnya, alam sekitar yang sihat penting untuk menjamin kesejahteraan rakyat. Semua pihak perlu bekerjasama menggembleng tenaga dalam pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar demi kehidupan yang berkualiti pada masa depan.     

(Dipetik dan diubah suai daripada ‘Memelihara Alam Sekitar’ oleh Samat Buang, Dewan Siswa, Disember 2016    – yang bersumberkan bahan daripada modul Karisma blog Cikgu Tan CL)

Bahan 2

Kempen Kitar Semula Majlis Daerah Kuala Selangor 2019 | Portal Rasmi Majlis  Daerah Kuala Selangor (MDKS)

(Gambar ini diambil daripada internet  tentang Poster Kempen Kitar Semula daripada Majlis Daerah Kuala Selangor)

Pendahuluan

Rumusan membincangkan kesan kemusnahan alam sekitar dan langkah-langkah untuk memulihara alam sekitar.

Bahan 1

Langkah-langkah memelihara alam sekitar

S1 masyarakat seharusnya menyuburkan amalan gaya hidup yang mengutamakan penggunaan sumber 

S2 hutan perlu dipulihara dan diurus dengan baik

 S3 kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan perlu menghentikan kegiatan pembalakan haram

 S4 mengadakan Kempen Cintai Sungai secara bersepadu di seluruh negara

S5 skop pendidikan di sekolah tentang alam sekitar juga perlu diperluas

 S6 kerajaan juga telah mewujudkan hutan simpanan kekal

 S7 kempen kesedaran perlu ditingkatkan pada peringkat sekolah, institusi pengajian tinggi dan masyarakat awam

S8 kerjasama setiap individu dengan sektor swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO)

Kesan-kesan kerosakan alam sekitar

K1 Ekosistem dan ekologi alam semula jadi akan terganggu

K2 Cuaca juga akan menjadi panas dan kering

K3. Habitat semula jadi turut musnah.

K4 Akhirnya fenomena ini mengakibatkan kepupusan haiwan dan tumbuh tumbuhan.

K5 Bencana banjir dan tanah runtuh yang kerap berlaku

Bahan 2

Langkah-langkah untuk memelihara alam sekitar

G1.  Orang ramai diseru supaya mengamalkan kitar semula terhadap barang-barang yang terpakai.

G2.  Masyarakat harus mengelakkan penggunaan strew dan beg pastik dan polistrena untuk mengurangkan sampah.

G3.  Minyak masak yang terpakai perlu dilupus dengan baik agar tidak menjejaskan alam sekitar.

Penutup

Kesimpulannya, semua pihak harus bekerjasama untuk memulihara alam sekitar agar melestari alam sekitar kita kepada generasi akan datang.

Jawapan

Rumusan membincangkan kesan kemusnahan alam sekitar dan langkah-langkah untuk memulihara alam sekitar.  

                Kesan kemusnahan alam sekitar ialah ekosistem dan ekologi alam semula jadi akan terganggu . Kesan seterusnya ialah cuaca juga akan menjadi panas dan kering. Langkah untuk memulihara alam sekitar ialah  masyarakat seharusnya menyuburkan amalan gaya hidup yang mengutamakan penggunaan sumber. Selain itu, langkah kedua ialah  hutan perlu dipulihara dan diurus dengan baik. Langkah ketiga ialah kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan perlu menghentikan kegiatan pembalakan haram. Langkah seterusnya adalah  mengadakan Kempen Cintai Sungai secara bersepadu di seluruh negara. Kerajaan juga telah mewujudkan hutan simpanan kekal . Di samping itu,  .  Orang ramai diseru supaya mengamalkan kitar semula terhadap barang-barang yang terpakai.

Kesimpulannya, semua pihak harus bekerjasama untuk memelihara alam sekitar agar melestari alam sekitar kita kepada generasi akan datang.

* Murid perlu sendiri mencari fokus yang terdapat dalam kedua-dua bahan tersebut untuk menentukan pendahulan dan isi yang hendak hendak dicari,

*Calon diingatkan supaya mengambil isi tentang langkah semaksimumnya 6 isi sahaja + sekurang-kurangnya 1 isi kesan  +  sekurang-kurangnya 1 isi daripada bahan kedua.

Tidak ada isi tersirat lagi

Leave a Reply