Categories
Uncategorized

MENULIS PENGENALAN RUMUSAN

Banyak pelajar yang masih tidak dapat menulis pengenalan rumusan dengan betul. Terdapat dua cara yang biasa digunakan untuk menulis pengenalan rumusan iaitu :

1. Mengemukakan tema keseluruhan petikan rumusan. (Tema ialah persoalan pokok/ utama).
2. Menggantikan kata kunci/ arahan pertama soalan dengan perkataan sama erti/ sinonim.

Daripada kedua-dua cara tersebut, hampir 90 peratus pelajar menulis pengenalan dengan cara menukar arahan pertama soalan dengan perkataan sama erti.

Contoh :
Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang kepentingan tidur dari segi saintifik dan cara-cara mengatasi masalah sukar tidur.

Arahan tugasan dalam rumusan :

1. Kepentingan tidur dari segi saintifik ( Isi tersurat )
2. cara-cara mengatasi masalah sukar tidur ( Isi tersirat )

Untuk menulis pengenalan, hanya arahan isi tersurat sahaja digunakan.

Tema : Petikan membincangkan kebaikan tidur dari segi saintifik bagi menjamin kecerdasan seseorang.

Menukar kata kunci “kepentingan” menjadi :
1. Faedah
2. Kelebihan
3. Peranan
4. Keutamaan
5. Keperluan
6. Manfaat
7. Maslahat
8. Mustahak
9. Afdal

Dianggap salah jika menukar arahan menjadi : Kemestian, keistimewaan, fungsi. Jika pelajar mengulang kata kunci “kepentingan” juga mendapat markah 0.

Arahan kedua soalan iaitu cara-cara mengatasi masalah sukar tidur tidak perlu ditulis sebagai pengenalan rumusan.

Categories
Uncategorized

Pastikan kata kunci dalam arahan soalan rumusan

Arahan rumusan :

1. Sebab/ punca
2. Kesan/ akibat/ implikasi/ natijah
3. Langkah/ cara/ tindakan/ strategi/usaha/ teknik/ modus operandi
4. Faedah/ kelebihan/ manfaat/ kekuatan/kepentingan/ kemaslahatan.
5. Peranan/ fungsi/ tanggungjawab/ tugas/ kewajipan
6. Kekangan/ halangan/ rintangan/batasan/masalah
7. Kelemahan/ keburukan/ kekurangan
8. Ciri-ciri/ sifat-sifat/ kriteria
9. Usul/cadangan/ pendapat/ pandangan

Categories
Uncategorized

ANALISIS SOALAN RUMUSAN (2001-2009)

Para pelajar yang bakal menduduki Peperiksaan SPM perlu mengkaji dan menganalisis rumusan tahun-tahun lepas untuk mengetahui skop soalan yang bakal diuji pada tahun ini.

SPM SKOP SOALAN
NOV 2001 Tanggungjawab penulis
JUN 2002 Peranan Industri Kecil dan Sederhana dalam pembangunan ekonomi negara
NOV 2002 Langkah-langkah untuk meningkatkan penggunaan teknologi maklumat dalam kalangan kakitangan kerajaan
JUN 2003 Langkah-langkah untuk meningkatkan kesedaran moral masyarakat.
NOV 2003 Kepentingan pelabelan makanan
JUN 2004 Masalah yang dihadapi oleh sektor perubatan awam di Malaysia.
NOV 2004 Faedah penubuhan badan khas bagi membantu pesakit kronik dan sebab-sebab penubuhannya.
JUN 2005 Cara-cara mengurus tekanan dan kepentingan pengurusan tekanan kepada individu
NOV 2005 Faedah-faedah hidup berjiran dan cara-cara memupuk semangat kejiranan
JUN 2006 Kelebihan kerja berpasukan dan cara-cara pemimpin membentuk kerja berpasukan.
NOV 2006 Cara-cara melahirkan masyarakat berbudi bahasa dan kesan terhakisnya amalan berbudi bahasa dalam masyarakat
JUN 2007 Kepentingan terumbu karang di Malaysia dan kaedah pemuliharaannya
NOV 2007 Tindakan mengatasi masalah disiplin murid di sekolah dan kesan masalah itu kepada negara.
JUN 2008 Faedah membaca dan cara-cara menggalakkan budaya membaca dalam kalangan masyarakat.

NOV 2008 Faedah-faedah penerokaan angkasa lepas dan cara-cara untuk menarik minat masyarakat terhadap bidang penerokaan angkasa lepas
JUN 2009 Punca-punca keracunan makanan dan kesan-kesan keracunan makanan..
NOV 2009 Kepentingan tidur dari segi saintifik dan cara-cara mengatasi masalah sukar tidur
Categories
Uncategorized

Latihan kesalahan ejaan dan imbuhan

Berikut disediakan latihan kesalah ejaan dan imbuhan yang terdapat dalam laman web lain. Menjelang peperiksaan, pelajar boleh membuat latihan-latihan sebagai langkah persediaan.

LATIHAN MENGENAL PASTI KESALAHAN EJAAN.doc

JAWAPAN LATIHAN MENGENAL PASTI KESALAHAN PENGGUNAAN EJAAN DAN KESALAHAN IMBUHAN.doc

 

Categories
Uncategorized

Latihan Cakap Ajuk dan Cakap Pindah

Tukar ayat cakap ajuk kepada cakap pindah tanpa mengubah maksudnya.

  1. “Hai, Minah! Sudah lama kita tidak berjumpa. Apa khabar?” kata Siti.
  2. “Tidak, saya tidak pernah terlibat dalam kes kecurian. Semua ini fitnah orang lain yang cemburu saya,” kata pemuda itu kepada seorang pegawai polis.
  3. “Tolong, tolong! Adik saya terjatuh ke longkang. Adik saya tidak tahu berenang. Cepat, cepat tolongnya,” jerit Fatimah.
  4. “Baru-baru ini, kes ragut berlaku satu demi satu, saya sungguh kesal. Polis macam tidak bertindak sesuatu,” kata seorang tua di kedai kopi.
  5. “Saya tidak mahu kalian terus malas dan tidak membuat latihan. Jika kalian masih bersikap begini, saya akan menghubungi ibu bapa kalian,” kata guru kelas kepada sekumpulan pelajar.
  6. “Cis! Aku juga pendekar yang bukan alang-alang. Jangan sangka aku akan tunduk kepada keriskau. Kalau berani, biarlah kita berlawan lelaki sama lelak,” kata Hang Jebat kepada Hang Tuah.
  7. “Oh! Tuhan, ampuni dosaku. Berilah saya kekuatan untuk menghadapi segala kesusahan,” kata gadis itu.
  8. “Abu, sekarang mak akan pergi ke hospital untuk menziarahi ayah kamu. Nanti kamu masak gulai sayur yang disediakan di dapur sebagai lauk malam ini dan bekalan awak di sekolah esok,” kata emak.
  9. “Saya jalan dahulu, jika ada sebarang masalah, hubungi saya dengan telefon,” kata jurujual itu kepada Tauke Lim
  10. “Assalamualaikum, ada orang di rumah? Saya hendak mencari Kassim.   Adakah dia ada di rumah?” kata pemuda itu.

Jawapan

Tukar ayat cakap ajuk kepada cakap pindah tanpa mengubah maksudnya.

1. Siti bertegur sapa kepada Minah lalu mengatakan bahawa mereka sudah lama tidak berjumpa dan bertanyakan khabar kepadanya

2.       Pemuda itu menafikan dakwaan itu kepada seorang pegawai polis lalu mengatakan bahawa dia tidak pernah  terlibat dalam kes kecurian dan semua hal itu fitnah orang lain yang mencemburuinya.

3.  Fatimah menjerit dan meminta tolong kerana adiknya terjatuh ke longkang. Fatimah mengatakan bahawa adiknya tidak tahu berenag sambil meminta orang ramai supaya cepat menyelamatkan adiknya.

4        Di kedai kopi, seorang tua berasa sungguh kesal terhadap pihak polis kerana ketika itu kes ragut berlaku satu demi satu

5       Guru kelas menasihati sekumpulan pelajar bahawa beliau tidak mahu mereka terus malas dan tidak membuat latihan dan jika mereka masih bersikap begitu, beliau akan menghubungi ibu bapa mereka.

6       Dengan perasaan marah, Hang Jebat mengatakan bahawa dia juga pendekar yang bukan alang-alang dan Hang Tuah tidak patut  menyangka bahawa dia akan tunduk kepada kerisnya. Hang Jebat juga mencabar Hang Tuah bahawa jika Hang Tuah berani, mereka boleh berlawan secara lelaki dengan lelaki.

7        Gadis itu berdoa kepada Tuhan agar  mengampuni dosanya dan memberinya kekuatan untuk menghadapi segala kesusahan.

8.       Emak memberitahu Abu bahawa ketika itu dia akan pergi ke hospital untuk menziarahi ayah Abu. Emak memesan Abu supaya Abu memasak gulai sayur yang disediakan di dapur selepas itu sebagai lauk malam itu dan bekalan Abu di sekolah keesokan hari.

9.      Jurujual itu meminta diri kepada Tauke Lim  lalu mengatakan bahawa jika ada sebarang masalah, Tauke Lim boleh menghubunginya dengan telefon.

10.   Pemuda itu memberikan salam lalu bertanya sama ada terdapat orang di rumah dan menyatakan bahawa dia hendak mencari Kassim  sama ada Kassim ada di rumah.

Categories
Uncategorized

Karangan -Pencemaran Sungai

Sungai merupakan anugerah Tuhan yang amat bernilai dan perlu dijaga dengan baik oleh manusia.
Jelaskan pendapat anda tentang sebab-sebab sungai tercemar dan kepentingan sungai dalam kehidupan.

“Beribu-ribu ekor ikan terapung-apung di permukaan sungai” “
“sungai di Pahang telah teruk dicemar”.

Begitulah tajuk-tajuk berita yang acap kali menghiasi dan menguasai dada akhbar-akhbar tempatan. Berita dan paparan media umpama ini bukan sahaja menghiasi dan menguasai dada akhbar-akhbar tempatan, isu ini juga sering menjadi liputan media massa antarabangsa dan persidangan utama dunia.

Pencemaran yang berlaku sepanjang dasawarsa ini sering meniti dari bibir ke bibir umat manusia di segenap empat pelosok dunia. Oleh itu, isu pancemaran sungai sudah menjadi berita basi. Kerajaan pernah mengadakan kempen-kempen seperti “Cintailah Sungai Kita” tetapi mendapat sambutan yang dingin daripada segenap lapisan masyarakat. Walaupun isu ini hangat diperkatakan dan meningkatnya kes ibarat cendawan tumbuh selepas hujan, pernahkah terlintas dalam benak anda apakah yang dimaksudkan dengan “pencemaran sungai”? Mengikut penjelasan yang terdapat dalam Kamus Dewan Edisi keempat, “pencemaran sungai” dapat didefinisikan sebagai perbuatan yang mengotorkan sungai yang jernih sehingga keruh dengan pelbagai bentuk cara. Fenomena yang terjadi ini pasti ada sebab-sebab yang munasabahnya kerana kalau angin tidak bertiup, masakan pokok bergoyong? Tahukah anda faktor-faktor yang menyumbang kepada pencemaran sungai? Segalanya bakal terhurai tirai bicara dibuka.
Faktor perdana yang menyumbang kepada pencemaran sungai ialah pembuangan sampah sarap oleh masyarakat. Hal ini ghalibnya dilakukan oleh masyarakat yang tinggal berhampiran dengan sungai. Mereka membuang apa-apa sahaja sampah sarap yang mereka ada ke dalam sungai. Fenomena ini boleh dikatakan telah menjadi satu lumrah dalam kehidupan masyarakat. Pada zaman globalisasi ini, masyarakat telah menganggap sungai sebagai sebuah tong sampah yang besar.Merujuk kepada laporan yang dikeluarkan oleh Jabatan Sungai Malaysia pada tahun 2007, alasan yang diberikan oleh masyarakat yang membuang sampah ke dalam sungai ialah tong sampah yang sedia ada berada jauh dari tempat tinggal mereka. Mereka malas untuk membuang sampah sarap tersebut ke dalam tong sampah yang sedia ada kerana perlu memakan masa yang banyak dan meletihkan mereka. Oleh sebab itu, mereka mengambil jalan mudah dengan membuangkan sampah sarap tersebut ke dalam sungai yang jernih itu dan mengakibatkan sungai itu menjadi keruh. Sampah sarap yang terapung-apung di permukaan sungai itu mempunyai bahan kimia yang akan menyumbang kepada pencemaran sungai.
Selain itu, punca yang seterusnya ialah pembuangan sisa toksik daripada kilang-kilang ke dalam sungai. Sisa toksik dari kilang-kilang tersebut akan mencemarkan sungai dengan menurunkan pH air sungai tersebut. pH air sungai yang rendah amat berbahaya kepada manusia dan hidupan akuatik. Hal ini dikatakan demikian kerana jikalau seseorang meminum air sungai yang pH rendah, kesihatan seseorang itu mungkin terjejas dan yang memburukkan keadaan lagi ialah mendatangkan kematian yang tidak diingini sama sekali. Kualiti kehidupan akuatik seperti ikan akan menurun kerana keadaan sungai yang tercemar tidaklah sesuai untuk ikan-ikan tersebut. Statistik yang sahih lagi tepat yang telah dikeluarkan oleh Jabatan Air Malaysia pada tahun 2008 jelas menunjukkan kebanyakan kilang yang membuang sisa toksik ke dalam sungai ialah kilang-kilang besar. Ketika ditanya tentang sebab mereka mengalirkan sisa toksik tersebut ke dalam sungai, alasan yang diberi ialah mereka tidak ada pilihan lain selain mengairkan sisa toksik tersebut ke dalam sungai tanpa memikirkan impaknya. Sikap sebegini yang mementingkan diri sendiri ibagai enau di dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing perlu dikikis demi kepentingan bersama.
Faktor yang seterusnya ialah tumpahan minyak oleh kapal-kapal. Hal sebegini telah lama berlaku di dalam negara kita. Mengapakah hal ini akan berlaku? Sebabnya ialah tong yang mengisi minyak bagi kapal tersebut telah bocor ataupun pecah. Minyak yang jisimnya kurang daripada air akan terapung di permukaan air. Masalah ini akan menjejaskan tumbesaran bagi tumbuh-tumbuhan yang hidup di dalam sungai. Hal ini dikatakan demikian kerana minyak tersebut akan menghalang sinaran matahari daripada sampai ke tumbuh-tumbuhan tersebut. Hal ini secara langsungnya akan menjejaskan proses tumbesaran tumbuhan tersebut kerana tumbuhan itu tidak dapat menjalankan proses pemhasilan makanan. Di negara lain seperti Jerman dan Australia, masalah tumpahan minyak ini tidak pernah berlaku dalam negara tersebut kerana mereka mempunyai kapal yang serba canggih dan tong minyak yang baik sekali.
Apakah kepentingan sungai dalam kehidupan seharian kita? Tidak dapat dinafikan bahawa sungai memang mempunyai kepentingan tertentu dalam kehidupan seharian kita. Kepentingan utamanya ialah sungai memainkan peranannya sebagai medium pengangkutan dan penghubungan. Berbalik kepada sejarah dahulu, pembukaan Terusan Suez telah memendekkan jarak perjalanan antara Timur dan Barat. Hal ini akan menjimatkan masa dan memudahkan perhubungan. Kawasan yang tidak dapat dihubungkan dengan jalan raya dapat dihubungkan dengan menggunakan jalan air. Keadaan ini akan memajukan sistem pengangkutan di negara kita dengan mempunyai pengangkutan darat, pengangkutan udara dan juga pengangkutan air. Hal ini dapat meyakinkan rakyat negara kita agar visi kudsi Wawasan 2020 dapat direalisasikan dan menjadi bumi Malaysia duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan negara gergasi yang lain di persada dunia.
Seterusnya, sungai amat penting kerana membekalkan sumber air dan protein kepada manusia. Air yang diminum oleh penduduk bumi kebanyakannya datang dari air sungai. Jikalau air sungai telah tercemar, air sungai tersebut perlu dibersihkan melalui proses yang merumitkan dan memakan kos seperti yang berlaku di negara Jerman. Sungai amatlah penting sebagai habitat hidupan akuatik seperti ikan, ketam, dan udang. Tanpa air sungai, manalah datangnya ikan, ketam dan udang yang kita makan pada hari ini? Ikan, ketam dan udang membekalkan sumber protein yang mencukupi kepada manusia. Menurut laporan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan, sumber protein yang terdapat dalam ikan, ketam dan udang adalah amat tinggi. Persis kata jauhari “sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya”. Peribahasa ini mengingatkan manusia supaya tidak mencemarkan air sungai yang merupakan habitat hidupan akuatik dan merupakan anugerah istimewa daripada Tuhan yang akan membahagiakan kita pada hari esok agar kita tidak menyesal pada hari kemudiannya.
Secara kesimpulannya, semua pihak harus berganding bahu ibarat “ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni” untuk mengatasi kemelut pencemaran air yang dapat diibaratkan seperti duri dalam daging kepada masyarakat dan negara. Janganlah kita membiarkan masalah ini terus bernanah di dalam negara kita. Sebagai khalifah Allah yang dikurniakan akal fikiran dan bergelar insan kamil, kita bertanggungjawab untuk menjaga sungai yang merupakan anugerah Tuhan yang amat bernilai ini. Kita haruslah menjauhkan diri daripada perbuatan mencemarkan sungai agar tidak terjadi fenomena “sudah terhantuk baru tengadah”. Marilah kita bersama-sama merealisasikan hasrat dan visi kudsi wawasan 2020. ‘Cintailah Sungai Kita’.

Categories
Uncategorized

Karangan

Beberapa karangan telah cikgu tulis atas permintaan pelajar. Karangan dapat berkongsi dengan para pelajar .

Karangan – Faktor Pencemaran Sungai

Karangan -Usaha-usaha Meningkatkan Pelancongan

 

Categories
Uncategorized

Rangkai kata yang menarik

Beberapa rangkai kata menarik untuk Kertas 1 & Kertas 2 (Soalan 3a)

PENYALUR ILMU
Maksudnya : Pemberi atau sesuatu yang banyak memberikan pengetahuan.
Guru dianggap penyalur ilmu yang baik kerana telah mcnerima latihan pendidikan yang secukupnya.

ALAF BAHARU
Maksudnya : Masa terkini, zaman ini
Remaja alaf baharu harus memiliki kemahiran yang luas terutama dalam aspek teknologi moden yang sering berubah.

MUTAKHIR INI
Maksudnya : Pada masa kini, ketika ini
Mutakhir ini, banyak kejadian jenayah yang melibatkan remaja berlaku terutama di bandar-bandar besar.

SEANTERO DUNIA
Maksudnya : Seluruh dunia
Sudah seantero dunia mengetahui keindahan batik negara ini yang mengutamakan bentuk-bentuk kesenian alam sekitar.

MEMANIFESTASIKAN FIKIRAN
Maksudnya : menggunakan atau melahirkan idea dan pendapat dengan sebaik mungkin. Kejayaan penulis mampu dibuktikan menerusi keupayaannya memanifestasikan fikirannya dalam jalan cerita novel.

MENUKILKAN KATA-KATA
Maksudnya : Menulis atau bercakap sesuatu perkara terutama karya sastera.
Saya menukilkan kata -kata semangat di atas kertas itu untuk memberi semangat kepada adik yang bakal menghadapi peperiksaan.

MEMBERIKAN IMPAK
Maksudnya : Mengakibatkan atau menyebabkan sesuatu berlaku.
Peristiwa kemalangan itu memberikan impak yang besar dalam kehidupan pemuda tersebut.

RENTETAN SENARIO
Maksudnya : Selepas sesuatu fenomena itu berlaku.
Rentetan senario itu, kerajaan telah memperkenalkan pelbagai peraturan di kawasan sekolah.

JIKA DITELUSURI
Maksudnya : Jika dikaji secara mendalam atau teliti isu tersebut.
Kejadian itu jika ditelusuri membuktikan kegagalan pihak kerajaan mengawal kehadiran pendatang asing.

MENDABIK DADA
Maksudnya : Kesombongan akibat kejayaan / keangkuhan.
Kita janganlah mendabik dada semata-mata kerana mahukan pengiktirafan.

KESTABILAN SPIRITUAL DAN FIZIKAL
Maksudnya : Keseimbangan rohani dan jasmani
Kestabilan spiritual dan fizikal penting diperoleh dahulu sebelum seseorang itu mampu menempa kejayaan.

MEKANISME KAWALAN
Maksudnya : Alat / aspek yang mengawal sesuatu
Mekanisme kawalan yang Iebih efektif perlu dilaksanakan untuk mengawal masalah kenaikan harga barangan runcit.

PANDANGAN SARWA
Maksudnya : Pemikiran biasa / umum
Pandangan sarwa masyarakat terhadap isu itu meyebabkan polemik itu sukar diselesaikan.

ANJAKAN PARADIGMA
Maksudnya : Perubahan demi kemajuan atau kebaikan
Anjakan paradigma penting berlaku dalam diri remaja dalam menongkah arus globalisasi.

RELEVAN DENGAN KEHENDAK ZAMAN
Maksudnya : Diterima dengan perubahan dari semasa ke semasa
Kemahiran diri harus diberi penekanan supaya menjadi relevan dengan kehendak zaman.

LANDASAN BERFIKIR
Maksudnya : Cara berfikir
Landasan berfikir seseorang itu banyak ditentukan oleh tahap pendidikannya.

MASYARAKAT KONVENSIONAL
Maksudnya : Masyarakat umum / biasa
Masyarakat konvensional pada hari ini memang mementingkan aspek kebendaan sahaja.

MENGAIBKAN DIRI
Maksudnya : Memalukan diri
Tindakan Ielaki itu melakukan jenayah telah mengaibkan diri dan keluarganya.

ALMA MATER
Maksudnya : Sekolah /universiti / tempat belajar
Dia telah kembali ke alma maternya untuk memberi sumbangan kewangan.

KEMAPANAN FIKIRAN
Maksudnya : Keteguhan cara berfikir
Kemapanan fikiran remaja memastikan diri mereka bebas daripada masalah.

MELUASKAN HORIZON PEMIKIRAN
Maksudnya : Meluaskan pandangan / pemikiran
Remaja harus meluaskan horizon pemikiran mereka jika ingin bersaing dalam dunia yang serba moden ini.

MENGGABUNGJALINKAN ELEMEN
Maksudnya : Menggunakan pelbagai aspek
Kajian itu cuba menggabungjalinkan elemen yang menjadi punca kegagalan projek tersebut.

MERANGSANG EKONOMI
Maksudnya : Mengaktifkan proses ekonomi
Langkah kerajaan mewujudkan taman industri itu bertujuan untuk merangsang perkembangan ekonomi negara.

Categories
Uncategorized

Karangan Ramalan – Punca Keganasan Rumah Tangga

Muat Turun :Karangan Keganasan Rumah Tangga Semakin Serius

Karangan Keganasan Rumah Tangga Semakin Serius

Categories
Uncategorized

Karangan Ramalan- Gaya Hidup Yang Sihat

Sesungguhnya karangan yang sederhana dan mudah difahami sentiasa disukai oleh guru-guru bahsa Malaysia kerana lazimnya bahasa itu llancar. Oleh itu, satu karangan yang agak lancar tanpa bahasa bunga yang bombastik disediakan untuk berkongsi dengan pelajar.
Muat Turun :Karangan -Gaya hidup sihat satu amalan yang murni